Selasa, 05/08/2025
Share This Article :
KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Peluncuran Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu dan RHB Sukuk Dana Hafeez yang berlangsung di Hotel The Westin, Kuala Lumpur.
Majlis penuh bersejarah itu turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoA) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic), sebagai simbolik kerjasama strategik ke arah pelaksanaan inisiatif wakaf berimpak tinggi bagi kelestarian biodiversiti marin.
Sebagai universiti yang mengetuai agenda penyelidikan marin di Malaysia, UMT tampil sebagai rakan strategik utama dalam menjayakan inisiatif ini melalui kepakaran yang dimiliki oleh Sea Turtle Research Unit (SEATRU) serta kemudahan di Stesen Penyelidikan Alami Penyu Chagar Hutang, Pulau Redang yang menjadi lokasi pemuliharaan penyu diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik penyertaan penyelidik serta sukarelawan dari seluruh dunia.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa kerjasama ini merupakan manifestasi keupayaan UMT dalam menjadikan ilmu dan penyelidikan sebagai instrumen pemuliharaan ekosistem alam selain memperkukuh amalan wakaf dalam konteks pembangunan lestari berpaksikan prinsip ekonomi islam.
“Program ini adalah model wakaf pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada pemeliharaan hidupan laut, khususnya spesies terancam seperti penyu. Ia bukan sahaja memberi impak langsung kepada kelangsungan ekosistem laut, malah berperanan sebagai instrumen pendidikan dan kesedaran kepada generasi muda serta komuniti,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama ini merupakan idea kreatif dan inovatif yang menjamin kesinambungan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan serta membuka peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam agenda pemuliharaan biodiversiti menerusi sumbangan wakaf secara sistematik dan berstruktur.
Sementara itu, Pengarah Urusan RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali menyifatkan inisiatif ini sebagai satu pendekatan baharu dalam memperluas peranan sektor kewangan islam dalam menyokong usaha pemuliharaan dan kelestarian alam.
“Peluncuran RHB Sukuk Dana Hafeez mencerminkan komitmen kami dalam menggembleng instrumen kewangan patuh Syariah ke arah pembangunan lestari serta kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar,”
“Pulangan daripada dana ini akan disalurkan sepenuhnya kepada Tabung Wakaf Pendidikan dan Kebajikan UMT, khususnya bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu menerusi program Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu”. katanya.
Gabungan sektor utama ditunjangi oleh institusi raja, institusi pengajian tinggi dan sektor kewangan dalam pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam memastikan kelestarian kehidupan di laut (SDG 14: Life Below Water).
Sebagai universiti yang memfokuskan kepada pengajian kelautan dan sumber akuatik, UMT akan terus memperkukuh usaha melalui pelbagai inisiatif seperti program pendidikan komuniti, penyelidikan berimpak tinggi dan projek konservasi berasaskan data saintifik bagi memastikan warisan marin negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu