UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pelajar UMT Cemerlang Sebagai ‘Top Finalist’ Bijak Pitch-i! 2025 Anjuran Bursa Malaysia

Selasa, 19/10/2025

Share This Article :

KUALA NERUS — Kejayaan membanggakan sekali lagi dicatatkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) apabila pelajarnya, Wong Chee Yew berjaya menarik perhatian panel juri dan memperoleh undian tertinggi juri dalam Pertandingan Bijak Pitch-i! 2025 yang dianjurkan bersempena Bursa Marketplace Fair 2025 di Mayang Mall.

 

Pelajar program Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian itu turut diumumkan sebagai salah seorang daripada lima pemenang akhir terbaik pertandingan berprestij tersebut, membuktikan keupayaan pelajar UMT untuk bersaing dalam kalangan peserta daripada institusi pengajian tinggi lain di peringkat nasional.

 

Pertandingan Bijak Pitch-i! merupakan platform berimpak tinggi anjuran Bursa Malaysia yang menguji kemahiran penyelidikan ekuiti, analisis kewangan dan keupayaan peserta dalam menyampaikan cadangan pelaburan dengan yakin dan profesional kepada juri industri. Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk menilai prestasi syarikat tersenarai serta mengemukakan idea pelaburan yang mampan, beretika dan berasaskan nilai.

 

Dalam sesi akhir pertandingan, Wong Chee Yew menampilkan pembentangan analisis yang mantap dengan penekanan terhadap pelaburan beretika dan lestari, sekali gus menarik perhatian panel juri. Berdasarkan penilaian keseluruhan, beliau menerima tiga undian juri dan berjaya membawa pulang RM1,000 dalam bentuk Emas Digital Bursa sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya.

 

Menurut Wong Chee Yew, kejayaan itu bukan sahaja memberi pengalaman berharga, malah mengukuhkan minatnya dalam bidang kewangan dan penyelidikan.

 

“Kemenangan dalam Bijak Pitch-i mengajar saya bahawa pelaburan bukan sekadar angka semata-mata, tetapi tentang memahami perniagaan, mengurus risiko, mengaplikasi ilmu dalam situasi sebenar serta berfikir dengan keyakinan jangka panjang. Saya amat berterima kasih kepada para pensyarah dan mentor atas bimbingan mereka. Pengalaman ini benar-benar memberi pengalaman serta membakar minat saya terhadap dunia kewangan dan penyelidikan yang lebih mendalam”. Katanya.

 

Kejayaan Wong Chee Yew mencerminkan keberkesanan usaha UMT dalam memperkukuh pendidikan kewangan dan pelaburan melalui pendekatan praktikal serta pendedahan kepada dunia sebenar.

 

Program Bursa Marketplace Fair 2025 merupakan kesinambungan kepada Investment Day: Bursa x UMT yang menjadi sebahagian daripada inisiatif UMT dalam memperkukuh literasi kewangan di Pantai Timur melalui penubuhan UMT Trading Centre.

 

Pusat ini merupakan pusat latihan dan simulasi pelaburan pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi awam wilayah Pantai Timur yang menyediakan akses kepada data pasaran sebenar serta latihan praktikal kepada pelajar dan komuniti.

 

UMT kekal komited dalam menyediakan peluang pembelajaran baharu yang inklusif, relevan dan berpaksikan realiti industri, khususnya dalam bidang pelaburan, kewangan dan pasaran modal.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu