UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penemuan Spesies Ikan Rogadius azizahae antara pertama seumpamanya di dunia

Rabu, 06/08/2025

Share This Article :

Kuala Nerus, 6 Ogos 2025 – Penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila berjaya menemui satu spesies ikan baharu dari keluarga ‘flathead’ yang dikenali sebagai Rogadius azizahae atau nama tempatan yang dicadangkan sebagai Baji Azizah di perairan Laut China Selatan.

Penemuan bersejarah ini merupakan hasil kerjasama antara UMT dan rakan penyelidik dari Jepun dan telah direkodkan secara rasmi dalam jurnal saintifik antarabangsa. Spesies unik ini ditemui oleh penyelidik UMT, Dr. Tun Nurul Aimi Mat Jaafar pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter di kawasan perairan pantai timur Semenanjung Malaysia sekaligus menjadikan ia sebagai penemuan pertama seumpamanya di dunia.

Lebih bermakna, nama saintifik azizahae diabadikan sebagai penghargaan kepada sumbangan besar
felo penyelidik utama UMT, Prof. Dr. Siti Azizah Mohd Nor yang merupakan tokoh terkemuka dalam bidang ekologi molekul dan pemuliharaan biodiversiti ikan di Malaysia.

Menurutnya, Baji Azizah merupakan spesies dasar laut yang sukar dikesan kerana bentuknya yang leper dan memiliki warna tubuh perang kelabu yang menyerupai dasar laut, menjadikan spesis itu bijak dalam penyamaran semula jadi.

“Penemuan ini bukan sahaja menambah khazanah biodiversiti marin negara, malah membuktikan bahawa perairan Malaysia khususnya di Laut China Selatan masih menyimpan pelbagai misteri biologi yang belum diterokai sepenuhnya” katanya.

Ikan Baji Azizah bersaiz kecil dengan panjang antara 10 hingga 11 sentimeter memiliki corak garis halus gelap pada sirip pelvis dan sirip ekor perang serta putih lut sinar di bahagian tengah.

“Ia berbeza dengan spesies seakan-akan lain berdasarkan bentuk duri kecil di kepala serta corak warna pada siripnya”

Penemuan itu selaras dengan teras penyelidikan utama UMT yang memfokuskan kepada kelestarian sumber akuatik serta pemetaan biodiversiti marin negara. Ia turut mencerminkan komitmen UMT sebagai peneraju bidang kelautan dan sumber akuatik Malaysia dalam meneroka khazanah ekosistem laut yang semakin terancam akibat pelbagai faktor seperti pemanasan global dan aktiviti manusia.


Penemuan Baji Azizah membuka ruang luas kepada kajian lanjut terhadap komuniti ikan dasar laut di perairan Malaysia yang masih belum diterokai secara menyeluruh. Ia turut menyediakan landasan untuk memperkasa usaha konservasi selain meningkatkan pemahaman tentang ekosistem marin serta memperkukuh dasar pengurusan sumber perikanan negara.

UMT percaya bahawa sinergi antara penyelidikan saintifik dan kesedaran masyarakat amat penting dalam memastikan spesies baharu seperti ini tidak pupus sebelum sempat dikenali. Justeru, kerjasama rentas bidang melibatkan ahli biologi marin, komuniti nelayan, agensi kerajaan serta masyarakat awam akan terus digerakkan.

Sebagai universiti yang menjadikan kelautan dan sumber akuatik sebagai nadi kepakarannya, UMT kekal komited untuk menjadi pusat rujukan utama dalam meneroka, mendokumentasi dan memelihara khazanah laut Malaysia yang mana ia merupakan khazanah warisan semula jadi yang tidak ternilai harganya.

Sementara itu Prof. Dr. Siti Azizah Mohd Nor ketika ditemui berkata, dia amat berbesar hati ikan tersebuf dinamakan sempena namanya.

“Sudah pasti saya berbesar hati dan gembira kerana penemuan ini adalah penemuan yang luar biasa dan usaha kumpulan pengkaji hidupan marin ini wajar dipuji kerana meraka adalah antara pakar yang terbaik”,katanya.

Penemuan spesis ikan ini telah mendapat pengiktirafan daripada badan antarabangsa, Zootaxa yang menerbitkan dan mengesahkan penamaan spesies baru sebelum diterbitkan di Journal Of Fish Biology pada 4 Ogos 2025.

Spesimen spesis baru ini telah didepositkan dan dikatalogkan di Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), INOS, UMT, untuk rujukan pada masa akan datang.