Isnin, 14/07/2025
Share This Article :
Kuala Lumpur, 12 Julai 2025 – Lebih 300 alumni dari seluruh negara berhimpun dalam suasana penuh nostalgia sempena Majlis UMT Grand Alumni Homecoming 2025: Golden Threads of Yesterday yang berlangsung di The Royale Chulan Hotel.
Majlis yang julung kali diadakan itu bukan sekadar pertemuan semula tetapi menjadi platform penting memperkukuh ikatan antara alumni dan alma mater serta pelancaran inisiatif besar yang menjanjikan impak berterusan kepada sistem pendidikan melalui Projek Khas Wakaf Ilmu: Rumah Pendidikan dan Kebajikan Alumni UMT.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya menjelaskan bahawa penubuhan Rumah Wakaf Alumni itu merupakan simbol nilai kasih sayang alumni terhadap universiti dan menyokong kelestarian pendidikan tinggi.
“Rumah itu bakal dibangunkan di Kampung Tok Jembal iaitu berdekatan dengan kampus dengan anggaran kos RM500,000 bagi membantu pelajar asnaf dan B40, alumni muda yang sedang mencari pekerjaan serta kakitangan sementara yang memerlukan kediaman transit”
Ujarnya, usaha itu bukan hanya menzahirkan penghargaan terhadap alumni, tetapi juga menanam benih kasih sayang dan tanggungjawab sosial ke arah pendidikan yang inklusif dan lestari.
Inisiatif itu adalah merupakan sebahagian penubuhan Tabung Kebajikan Alumni yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu yang telah memberi manfaat kepada lebih 130 alumni melalui pelbagai bentuk bantuan seperti rawatan, kematian, yuran pengajian dan kemusnahan harta benda.
Tambahnya, pihak UMT melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni turut memperkenalkan bantuan sokongan baharu yang dinamakan sebagai Alumni Kasih.
“Pada tahun 2025, satu lagi kategori diperkenalkan iaitu Alumni Kasih yang memberi bantuan one-off kepada anak alumni yang menyambung pengajian di UMT”.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan majlis pelancaran pra penerbitan majalah alumni ‘SAUH’ sebagai platform komunikasi rasmi yang menyalurkan kisah inspirasi alumni serta perkembangan universiti.
Selain itu, majlis makan malam istimewa itu juga menyaksikan pertukaran surat niat antara HEPA dan UMT SEA Sdn Bhd yang memberi peluang kepada alumni mengikuti kursus jangka pendek UMT SEA dengan diskaun pendaftaran khas.
Prof. Zamri turut berkongsi pencapaian terbaharu universiti itu apabila buat pertama kali UMT disenaraikan dalam kelompok 801–850 universiti terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings 2026 serta tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia dan kedudukan ke-20 terbaik Asia dalam bidang Marine and Freshwater Biology membuktikan keunggulan dalam bidang sains marin dan kelautan.
Kejayaan itu membuktikan UMT sebagai institusi yang melahirkan graduan bertaraf global, berdaya saing dan berwibawa dalam pelbagai bidang.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pro Canselor UMT, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof. Dr. Mohamad Salmi Sohod, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu