UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pengkongsian dua hala mantapkan strategi institusi

Ahad, 03/08/2025

Share This Article :

Kuala Nerus, 31 Julai – Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima kunjungan penanda aras daripada delegasi Pusat Komunikasi Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia (Komunikasi UKM) dalam satu sesi perkongsian dua hala yang membincangkan pelbagai aspek strategik komunikasi universiti.

 

Delegasi seramai 29 orang yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM disambut mesra oleh kakitangan Pejabat Komunikasi Korporat UMT di Bangunan Canselori, UMT.

 

Perkongsian dua hala itu memberi tumpuan kepada perbincangan menyeluruh mengenai peranan strategik komunikasi korporat dalam memperkasakan jenama institusi, pengurusan komunikasi dan krisis serta pemerkasaan digitalisasi dalam kaedah penyampaian maklumat kepada kumpulan sasar.

 

Dalam sesi pembentangan dan libat urus, kedua-dua pihak telah berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapi dalam menangani isu komunikasi dalaman dan luaran termasuk pengurusan persepsi awam serta keberkesanan saluran komunikasi digital seperti media sosial dan portal rasmi universiti.

 

Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT, Zukiferee Ibrahim menyifatkan sesi itu sebagai platform penting untuk memperkukuh jaringan strategik antara institusi dan menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam landskap komunikasi pendidikan tinggi yang semakin mencabar.

 

“Walaupun UKM lebih lama kewujudannya, kami di UMT menganggap ia suatu penghargaan yang besar kerana memilih PKK UMT sebagai lokasi yang dilawati”

 

“Kami percaya sesi seperti ini mampu membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara institusi, khususnya dalam membentuk naratif jenama yang mantap dan menyeluruh”

 

Selain sesi diskusi, lawatan turut diselitkan dengan sesi tinjauan ke studio Media Kreatif bagi memberi peluang kepada delegasi UKM untuk melihat sendiri keupayaan teknikal serta pengurusan kandungan kreatif yang dilaksanakan oleh PKK UMT.

 

Tambahnya, kunjungan rasmi itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama lebih erat antara UKM dan UMT dalam bidang komunikasi strategik, selaras dengan aspirasi kedua-dua institusi dalam memperkukuh reputasi dan kredibiliti di peringkat nasional dan antarabangsa.