UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Sokongan Awal Kewangan : Permulaan Kukuh Bagi Mahasiswa Baharu

Selasa, 08/07/2025

Share This Article :

KUALA NERUS, 7 Julai 2025 – UMT terus komited memperkukuhkan dasar inklusif dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang saksama untuk semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar dari golongan B40.

 

Inisiatif ‘Bingkas Kasih’ yang merupakan bantuan sebahagian yuran untuk membolehkan pelajar meneruskan pengajian menjadi bukti usaha UMT dalam meringankan beban kewangan mahasiswa dan keluarga mereka.

 

Seramai 36 orang pelajar baharu sesi 2025/2026 terdiri daripada pelajar Asasi STEM dan Diploma Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima manfaat daripada inisiatif bantuan Bingkas Kasih berupa bayaran awal yuran pengajian sebanyak RM200 setiap seorang.

 

Sesi penyampaian bantuan kepada pelajar ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain di UMTCC sempena Slot Mahasiswa Idaman dan Kehidupan Kampus dalam Program Minggu Jalinan Mesra.

 

Turut hadir menjayakan sesi ini ialah seluruh barisan pengurusan HEPA yang menunjukkan komitmen padu dalam usaha menyokong kebajikan mahasiswa.

 

Inisiatif ini merupakan antara langkah proaktif universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi membantu meringankan beban kewangan awal pelajar yang baru melangkah ke menara gading, khususnya dalam kalangan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah. Pihak HEPA telah melakukan saringan awal permohonan yang dibuat oleh pelajar melalui pautan borang yang disediakan selepas keputusan UPU dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

 

Menurut Profesor Dr. Mohd Izani, bantuan ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi juga satu bentuk motivasi awal buat pelajar agar terus cekal dan bersemangat dalam meneruskan pengajian.

“UMT sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, lebih-lebih lagi pada fasa awal pengajian yang seringkali mencabar dari segi emosi dan kewangan. Bingkas Kasih adalah salah satu cara kami menyatakan bahawa mereka tidak bersendirian,” ujar beliau.

 

Salah seorang penerima bantuan, Nur Afiqah Umairah Binti Anwar, pelajar Asasi STEM menzahirkan rasa syukur atas pemberian itu.

 

“Saya amat bersyukur dan terharu dengan bantuan ini. Ia benar-benar meringankan beban ibu bapa saya yang sedang berusaha menyediakan kelengkapan pengajian saya. Terima kasih UMT dan HEPA atas keprihatinan ini.”

 

Program seumpama ini jelas mencerminkan nilai kepedulian yang tinggi oleh pihak universiti terhadap kesejahteraan mahasiswanya, sekaligus memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti pelajar baharu yang baru ingin menyesuaikan diri dalam suasana kampus. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penerima dan berharap bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya.