UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

SULTAN TERENGGANU BERKENAN ISYTIHAR KOLEKSI SURAT PERSENDIRIAN BAGINDA OMAR SEBAGAI DOKUMEN WARISAN DUNIA UNESCO

Rabu, 25/06/2025

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 24 Jun 2025 – Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan melancarkan buku Warkah Baginda Omar Sultan Terengganu IX (1839–1876) yang menghimpunkan koleksi surat persendirian Sultan Terengganu ke-9, Baginda Omar.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut menyaksikan pengisytiharan koleksi surat tersebut sebagai Dokumen Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP).

Turut berangkat ke majlis ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Terengganu sebagai tanda sokongan institusi diraja terhadap usaha pemeliharaan dokumen warisan negara.

Buku tersebut ditulis oleh Prof. Madya Dr. Riswadi Azmi, penyelidik dari UMT yang menjalankan kajian komprehensif terhadap 56 naskhah surat bertarikh antara 1848 hingga 1858 yang ditulis dalam tulisan Jawi klasik.

Surat-surat penting itu merangkumi komunikasi rasmi dan diplomatik Baginda Omar dengan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Johor, Pahang, Kelantan, Riau-Lingga serta kuasa asing seperti Siam dan British.

Menurut Dr. Riswadi, penerbitan buku itu membuka ruang kepada pemahaman yang lebih mendalam terhadap sistem pemerintahan dan diplomasi Kesultanan Melayu abad ke-19.

“Surat-surat ini memperlihatkan gaya bahasa penuh adab, ketajaman diplomatik dan kebijaksanaan Baginda Omar dalam mentadbir negeri serta menjalin hubungan serantau. Ia turut mencerminkan kepimpinan berwawasan dalam memperkukuh ekonomi maritim dan jaringan kuasa diplomatik ketika itu,” katanya.

“Baginda Omar yang memerintah Terengganu dari 1839 hingga 1876 dikenang sebagai sultan berwibawa yang menitikberatkan syiar Islam, memperkukuh institusi pentadbiran dan memelihara kebajikan rakyat. Surat-surat baginda merupakan khazanah budaya dan bukti sejarah penting yang mencerminkan nilai ketamadunan dan identiti bangsa”.

Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2010 sebelum menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa oleh UNESCO pada 8 Mei 2024 dalam satu persidangan di Ulaanbaatar, Mongolia.

Pengiktirafan itu turut mengukuhkan peranan Malaysia, khususnya negeri Terengganu, sebagai antara peneraju serantau dalam usaha pelestarian khazanah intelektual dan dokumen sejarah bertaraf dunia.

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu