UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT dan PLANMalaysia Jayakan Program Penanaman Pokok Pelindung Pantai di Tanjung Gelam

Ahad, 29/06/2025

Share This Article :

KUALA NERUS, 29 Jun 2025 – Hampir 100 batang pokok pelindung pantai daripada spesies rhu, ketapang, dan lagundi laut berjaya ditanam di sepanjang Pantai Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot dalam satu program kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT), PLANMalaysia dan Geng Plastik Hijau (GPI).

 

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang bertujuan mengurangkan impak hakisan pantai akibat perubahan iklim serta mewujudkan zon penampan semula jadi bagi perlindungan pesisir.

 

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, inisiatif itu merupakan satu pendekatan mampan berasaskan alam semula jadi (Nature-Based Solutions) yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

 

Beliau yang juga merupakan pakar hakisan pantai menjelaskan, pemilihan jenis pokok yang bersesuaian amat perlu bagi mengurangkan kesan jangka panjang.

 

“Pemilihan pokok rhu, ketapang, dan lagundi laut adalah berdasarkan keupayaan semula jadi kedua-dua spesies ini untuk menahan angin monsun, mengikat tanah berpasir serta berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies fauna pesisir. Manakala bagi pokok legundi khususnya mempunyai nilai perubatan yang tinggi seperti mempunyai keupayaan membunuh sel kanser, bersifat anti radang, menyembuhkan luka dan bersifat anti radang. Ia juga digunakan sebagai bahan pewarna dan perasa dalam kuih tradisional dan nasi kerabu” jelas beliau.

 

Program itu juga disertai oleh penduduk kampung, pelajar UMT serta sukarelawan alam sekitar.

 

Selain aktiviti penanaman pokok, turut diadakan sesi kesedaran tentang kepentingan ekosistem pantai yang menyasarkan komuniti setempat sebagai barisan hadapan dalam pemeliharaan sumber alam.

 

Turut hadir menjayakan program ialah wakil PLANMalaysia, pegawai daripada agensi kerajaan berkaitan, serta ahli akademik dan aktivis pemuliharaan.

Selain itu, inisiatif yang dilaksanakan itu turut seiring dengan agenda Greening Malaysia dan Pelan Induk Pembangunan Fizikal Negara (NPDP) yang menekankan elemen adaptasi perubahan iklim serta kelestarian kawasan pesisir negara.

 

Pelaksanaan program itu juga diadakan bersempena sambutan World Oceans Week 2025 (WOW25) yang berlangsung sepanjang minggu terakhir bulan Jun, sekali gus mengangkat semangat cintakan alam sekitar dan menyemarakkan nilai lestari dalam kalangan masyarakat.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu