UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Perluas Usaha Pemuliharaan Karang Bersama Aquaria KLCC

Selasa, 24/06/2025

Share This Article :

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Usaha pemuliharaan terumbu karang di negara ini terus diperhebat melalui kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Aquaria KLCC menerusi pelancaran fasa ketiga Inisiatif Pemuliharaan Karang yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Inisiatif ini turut memperkenalkan Program Adopsi Karang yang bertujuan memperluas taman batu karang sedia ada kepada 2,000 meter persegi dan memulihara sekurang-kurangnya 3,000 keratan karang menjelang tahun 2027.

Menurut Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), UMT, projek pemuliharaan ini telah dimulakan sejak 2018 di perairan Pulau Bidong, Terengganu dan kini menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Kami berusaha memulihkan semula ekosistem batu karang yang semakin terancam akibat pelbagai faktor, khususnya pelunturan karang akibat perubahan iklim. Lebih 1,000 keratan karang telah berjaya dipulihkan sepanjang fasa pertama dan kedua projek ini” katanya yang turut hadir ke majlis pelancaran.

Dr. Tan turut berkongsi pengalaman peribadi ketika menyelam di kawasan Pantai Pasir Cina 25 tahun lalu, yang ketika itu masih kaya dengan kelimpahan karang hidup serta kehidupan marin seperti penyu dan anak jerung sirip hitam.

“Kini, kawasan itu telah kehilangan sebahagian besar karangnya. Usaha pemuliharaan ini seumpama menanam semula pokok di lautan – memerlukan masa, kesabaran dan sokongan berterusan,” tambah beliau.

Kolaborasi dengan sektor swasta seperti Aquaria KLCC disifatkan sebagai pemangkin penting dalam menjayakan usaha ini, terutamanya dari segi sokongan pembiayaan dan platform kesedaran awam.

“Terumbu karang yang sihat bukan sahaja menyokong biodiversiti marin, malah memainkan peranan dalam menyerap karbon dioksida, menghasilkan oksigen dan memperkukuh industri agropelancongan” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aquaria KLCC, Daryl Foong menyatakan komitmen pihaknya untuk meneroka kerjasama dengan UMT bagi meluaskan program pemuliharaan ini ke lokasi lain di seluruh negara.

“Fokus kini di Pulau Bidong, namun kami terbuka untuk memperluas inisiatif ini ke tapak-tapak pemuliharaan berpotensi lain bersama rakan penyelidik daripada UMT”. katanya.

Orang ramai juga berpeluang menyertai usaha ini menerusi Program Adopsi Karang dengan memilih Pakej Keratan (RM10–RM350) atau Pakej Karang (RM350 ke atas) bagi membantu menyokong inisiatif pemuliharaan yang diterajui oleh UMT bersama rakan industri.