Selasa, 01/07/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 30 Jun 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam menangani isu geobencana pantai melalui penganjuran Seminar dan Townhall Geobencana Pantai: Adaptasi dan Mitigasi Terhadap Impak Hakisan Pantai dan Perubahan Iklim yang berlangsung hari ini di Auditorium Mahyuddin, UMT.
Seminar yang mendapat kerjasama strategik bersama PLANMalaysia itu memberi fokus terhadap usaha menangani masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan terutama di kawasan Pantai Timur.
Faktor geografi yang bersifat terbuka kepada tiupan angin monsun dan ombak kuat menjadikan kawasan pesisir negeri ini sangat terdedah kepada impak hakisan dan perubahan iklim.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa UMT telah lama memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang sains marin, perikanan, pengurusan pesisir dan perubahan iklim.
“Dengan kedudukan strategik UMT di persisiran pantai, kami bukan sahaja menjadi saksi kepada kesan hakisan, malah menjadikan isu ini medan utama penyelidikan serta inovasi penyelesaian. Kami melaksanakan kajian meliputi pemetaan risiko hakisan, penggunaan teknologi mitigasi seperti living shoreline serta penerapan adaptasi komuniti terhadap perubahan iklim” ujar beliau.
Antara pendekatan strategik yang diketengahkan UMT termasuklah Perancangan Ruang Laut (MSP) yang berasaskan sains bagi menyeimbangkan antara perlindungan alam sekitar marin, pembangunan ekonomi biru dan kesejahteraan sosial.
Pendekatan itu dianggap pelengkap kepada perancangan fizikal darat dan sangat penting dalam konteks pembangunan mampan negara maritim seperti Malaysia.
Fenomena hakisan pantai bukan sekadar isu alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada komuniti nelayan tradisional yang kehilangan kawasan pendaratan bot, tempat tinggal dan sumber pendapatan akibat perubahan garis pantai yang semakin mengecil.
Gelombang besar dan peningkatan aras laut turut menjejaskan ekosistem pesisir seperti hutan paya bakau yang menjadi benteng semula jadi dan habitat penting perikanan.
UMT melalui kerjasama dengan pelbagai agensi seperti PLANMalaysia turut menyumbang kepada penggubalan dasar dan pelan tindakan holistik yang menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG) dan Ekonomi Biru negara.
Usaha ini diterjemahkan melalui Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara yang kini mula mengambil kira aspek marin secara menyeluruh dalam perancangan negara.
Lautan meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi membekalkan lebih 50 peratus oksigen dan menjadi habitat kepada kira-kira 80 peratus biodiversiti dunia.
Lebih menarik, kira-kira 70 peratus populasi Malaysia tinggal berhampiran kawasan pesisir dan bergantung kepada hasil laut serta ekosistem marin untuk kelangsungan hidup.
Naib Canselor turut menyatakan harapan agar seminar itu bukan sekadar menjadi medan perbincangan tetapi menjadi pemangkin kepada tindakan bersepadu dan lestari dalam menangani isu hakisan yang semakin mendesak akibat perubahan iklim.
“Sinergi antara penyelidik, pembuat dasar dan komuniti perlu diperkukuh bagi melahirkan solusi sebenar kepada cabaran ini”.
Katanya, UMT melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha pemuliharaan alam melalui pelbagai medan termasuk penganjuran seminar dan debat sekali gus membuktikan komitmen UMT sebagai institusi yang bukan sahaja mendepani penyelidikan berkaitan sains marin, tetapi juga mendahului peranan advokasi, perancangan dan pendidikan dalam usaha perlindungan pesisir pantai negara.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu