UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT perkukuh jaringan strategik antarabangsa dan industri

Ahad, 29/06/2025

Share This Article :

KUALA NERUS, 25 Jun 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam bidang sains marin dan maritim apabila memeterai dua perjanjian strategik dengan rakan antarabangsa dan industri, hari ini.

 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dan Irshad HR Consulting Sdn. Bhd.  serta Surat Hasrat (MoU) antara UMT dan Hainan Tropical Ocean University (HTOU), China telah berlangsung di Kampus UMT Gong Badak.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, dalam ucapannya menyifatkan majlis itu sebagai permulaan penting kepada satu fasa baharu dalam hubungan Kerjasama dan aspirasi bersama antara institusi-institusi yang terlibat.

 

“Hari ini menandakan permulaan kepada satu lembaran baharu yang bermakna dalam menjalin kerjasama dan matlamat bersama antara institusi kita.

 

“Kami komited untuk terus cemerlang dalam bidang sains marin, pengajian alam sekitar dan pembangunan lestari. Komitmen ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila bagi tahun akademik 2024/2025, UMT telah disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dunia, 20 terbaik Asia dan nombor satu di Malaysia bagi bidang Biologi Marin dan Air Tawar”.

 

Kerjasama bersama HTOU memberi tumpuan kepada pertukaran penyelidikan, kepakaran akademik serta penggunaan fasiliti secara bersama dalam bidang kelautan tropika.

 

Timbalan Presiden HTOU, Profesor Dr. Wang Daoru, menyifatkan UMT sebagai rakan strategik yang mempunyai sistem sokongan penyelidikan marin yang lengkap dan berkualiti tinggi.

 

“UMT mempunyai kelebihan dalam ekosistem penyelidikan laut tropika. Kami yakin kerjasama ini bakal membuka peluang kepada penemuan-penemuan baharu yang mampu menyumbang kepada kelestarian sumber laut serantau”

 

Sementara itu, kerjasama dengan Irshad HR Consulting Sdn. Bhd., yang diketuai oleh Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Raji Yaakub, menumpukan kepada pembangunan modal insan, peningkatan kebolehpasaran graduan serta pemantapan kemahiran insaniah melalui pelbagai program latihan dan penempatan kerjaya.

“Dengan pengalaman luas dalam bidang perundingan sumber manusia, kami percaya kolaborasi ini akan memperkasakan graduan UMT dengan nilai tambah yang diperlukan oleh industri masa kini sekaligus menyumbang kepada penyediaan pembangunan modal insan negara”. ujar beliau.

 

Selain itu, UMT turut berada dalam kelompok 801–850 universiti terbaik dunia melalui QS World University Rankings 2026 serta berada dalam 195 universiti terbaik Asia menurut QS Asia University Rankings.

 

“Pencapaian itu mencerminkan dedikasi seluruh warga akademik UMT dan menjadi asas kukuh kepada jalinan kerjasama global yang memberi impak positif dalam memacu kecemerlangan universiti”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu