Ahad, 06/07/2025
Share This Article :
Kuala Nerus, 6 Julai – Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kembali meriah dengan kehadiran pelajar baharu yang mendaftar untuk sesi akademik 2025/2026 bagi Program Asasi STEM dan Diploma Perikanan.
Seramai 580 pelajar baharu yang terdiri daripada 450 pelajar Asasi STEM dan 130 pelajar Diploma Perikanan memulakan langkah pertama dalam perjalanan pendidikan tinggi mereka di institusi ini yang terkenal dengan pengkhususan dalam bidang sains marin dan alam sekitar.
Pendaftaran yang berlangsung secara pandu-lalu itu turut menyaksikan kehadiran pelajar dari pelbagai latar belakang yang unik seperti pelajar Orang Asli, dua pasangan kembar serta atlet kebangsaan.
Antaranya ialah Nur Razlin Mohamed Radzy wakil komuniti Orang Asli dari Pahang yang mengikuti Diploma Perikanan dan pasangan kembar Sachinsri dan Shanjaysri dari Pulau Pinang serta Wan Nur Qistina Adyana Wan Ahmad Shafiee dan juga pasangan kembar seirasnya Wan Nur Qistina Adyani Wan Ahmad Shafiee yang mendaftar ke Program Asasi STEM.
Tidak ketinggalan juga dua atlet muda negara, Muhammad Airel Hazim Mohd Yazid (atlet badminton Terengganu) dan Ammar bin Azali (atlet sukan layar Perlis) yang turut memilih UMT sebagai destinasi menimba ilmu sambil mengembangkan bakat sukan mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain turut turun padang menyantuni pelajar dan ibu bapa dalam suasana yang penuh mesra dan santai.
Beliau menzahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan oleh para pelajar dan keluarga dalam memilih UMT sebagai platform menimba ilmu dan membina masa depan.
“UMT bukan sekadar tempat belajar, tetapi tempat membina sahsiah, kepimpinan dan jati diri. Kami amat menekankan pendekatan holistik dalam mendidik pelajar, sesuai dengan kehendak semasa dan cabaran masa depan” ujar beliau ketika ditemui di lokasi pendaftaran.
Dalam memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, pasukan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) turut menyediakan bantuan khas kepada pelajar yang memerlukan, termasuk dari segi logistik dan kebajikan.
Kehadiran pelajar-pelajar baharu ini menjadi bukti daya tarikan UMT sebagai pusat kecemerlangan akademik dan kurikulum yang bukan sahaja menekankan kepakaran dalam bidang marin dan sumber akuatik, tetapi juga meraikan kepelbagaian dan potensi luar biasa anak-anak muda negara.
UMT mengalu-alukan kehadiran mereka sebagai keluarga baharu dalam komuniti kampus dan berazam untuk terus melahirkan graduan berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan negara khususnya dalam bidang sains dan keterjaminan makanan negara.
Untuk rekod, UMT kini berada dalam kelompok kelompok 801–850 universiti terbaik dunia berbanding 1001–1200 pada tahun sebelumnya dan peningkatan signifikan itu dipacu oleh pelaksanaan hala tuju strategik universiti menerusi Pelan Strategik UMT 2023–2027 (PSUMT5).
Menurut laporan QS WUR 2026, UMT mencatat pencapaian cemerlang dalam beberapa indikator utama. Antaranya sitasi per pensyarah melonjak ke kedudukan 596 dunia meningkat 89 tangga berbanding penarafan sebelumnya.
UMT turut mencatat peningkatan ketara dalam indikator kelestarian, menduduki tangga 543 dunia hasil pelaksanaan inisiatif hijau yang berterusan di kampus.